Selasa, 17 Mei 2011

BULETIN UBK EDISI HARI GURU 2011

Guru adalah profesion yang sangat mulia. Kerana gurulah yang membuat seseorang boleh menjadi seorang perdana menteri, jadi ahli politik, jadi guru, jadi doktor, jadi profesor, jadi ahli perniagaan yang berjaya  dan lain-lain. Lebih-lebih lagi menjadi seorang guru di sekolah rendah, sangat  besar jasanya kepada kita semua. Tanpa mereka, ramai di kalangan kita ini akan buta huruf. Guru sekolah rendahlah yang telah mengajarkan kita bagaimana untuk kita membaca dan menulis, mengira dan sebagainya. Selain ibu bapa kita, guru sekolah rendah jugalah yang mengajar kita  budi bahasa, sopan santun, dan saling menyayangi antara satu sama lain. Begitulah mulianya tugas seorang guru.  Guru mengajar anak orang supaya boleh membaca, menulis dan mengira serta memperolehi segala ilmu pengetahuan, kemudian mendidik anak orang supaya menjadi manusia yang baik dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, sungguh berat sebenarnya tugas seorang guru. Guru mengajar dan mendidik murid dalam usaha  membina generasi penerus bangsa yang berkualiti, berakhlak mulia, serta mampu menjadi modal insan yang berupaya membuat perubahan dalam pembangunan masyarakat dan negara. Boleh dikatakan bahwa guru adalah penentu kepada  keberhasilan negara dalam melahirkan generasi yang berkualiti pada masa hadapan. Di tangan gurulah masa depan generasi muda akan ditentukan. Oleh kerana itu, sebagai guru kita mesti berhati-hati dalam menjalankan tugas mulia ini. Jika kita tersalah langkah dalam mendidik mereka, maka akan terhasilah produk pendidikan yang  pincang dan bermasalah. Ingatlah wahai para guru, bahawa yang kita cetak dan kita ukir pada hari ini adalah manusia. Oleh yang demikian, perlunya kerja keras dan kesabaran yang optimum di kalangan kita dalam menjayakan matlamat pembinaan modal insan yang kamil. Tugas ini berbeza sekali dengan kerja buat kita dalam membina binaan fizikal yang boleh kita musnahkan jika ianya tidak memberikan manafaat kepada kita. Apa yang kita cetak dan bentuk sekarang adalah makhluk hidup.  Kita harus lebih teliti dan banyak belajar bagaimana cara untuk kita membina acuanya agar output yang dihasilkan juga sesuai dengan yang diharapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan